::my lair::

Just another WordPress.com weblog

5.3

leave a comment »

Deringan telefon bimbit mengejutkan Batrisya daripada tidur. Leher terasa kaku. Sakit. Dia tertidur dalam keadaan meniarap. Tangan meraba mencari telefon.
‘Hospital’

Dia tekan butang hijau.

“Hello.” Malas suaranya.

“Hello Dr Trish, sorry ganggu. Ni Kak Ili ni,  wad medical male 1.”

“Ya kak?” 

“Ada kes baru masuk lah Dr Trish. Denggi. Untuk full clerking.”

“Aa…kejap lagi saya datang kak ya.”

Talian dimatikan.Batrisya bertukar posisi. Menelentang. Jam di telefon menunjukkan pukul 5.30 pagi. 40 minit yang lepas baru dia dapat merebahkan badan di atas katil. Baru dapat lepas lelah semenjak petang.  Aktiviti terakhir tadi, CPR pesakit yang tiba-tiba collapse. Terkilan, kerana pesakit itu pergi. Selepas mengumumkan waktu kematian dan menyudahkan paperwork yang perlu, dia terus menonong ke bilik oncall. 

Telefon berbunyi lagi.

Aduh, apa lagi ni!

“Hello.” Serak.

“Dr Trish, kat mana tu? Kak Ili ni. Bila Dr Trish nak datang clerk patient denggi tu?”

“Ada lagi seorang ke kak?”

“Hish apa Dr Trish ni. Patient yang tadi akak call tad lah.”

“Kak Ili baru telefon kan 5 minit lepas.”

“Dr Trish!” Suara di talian bercampur antara ketawa dan geram. “Akak call sebelum Subuh lagi tadi! Ni dah 6.30 pagi dah Dr Trish.”

Batrisya berguling jatuh katil. Allah. Dia tertidur. Dalam pada otaknya mengomel-omel, tak sedar dah termasuk dalam mimpi. Mandi ala kadar, usai solat Subuh, jam sudah 6.50 pagi. Houseman wad itu mesti sudah separuh jalan mengambil darah. Dan dia sudah lambat  untuk ambil darah pesakit di wad sendiri.

Baju kurung separuh berkedut dengan tudung sarung yang ada bau-bau bacang saja dengan warna bajunya, Batrisya sudah tidak ambil kira. Sampai di wad perubatan lelaki 1, Suhaili dah menunggu dengan sebelah tangan mencekak pinggang, sebelah tangan lagi memegang fail pesakit. Matanya sedikit bulat memandang Batrisya, tetapi belum sempat dia bersuara, Batrisya cepat-cepat memotong bertanya nombor katil pesakit. Dan terus meluru ke bilik isolasi satu.

“Minta maaf Encik tunggu lama…” 

Dan Batrisya hilang kata sebaik mukanya bertembung dengan baju hijau hospital. Pada badan pesakit. Dalam jarak dekat. Dia buka pintu bilik isolasi tadi tidak perasan yang pesakit juga berada di muka pintu belah dalam. Angkat muka, mata coklat yang dia nampak dahulu. 

“Oh sorry. Saya baru nak tanya misi lama lagi ke nak tunggu,” pesakit itu perlahan-lahan berundur ke katil. Dan duduk.

“Ye, maaf saya lambat, Encik…” mata Batrisya curi intai pelekat nama pada fail. “Meor.” Unik. Jarang dia jumpa. “Saya nak tanya beberapa soalan dan periksa  Encik Meor sikit ya.’

Lelaki itu angguk.

Dalam kalut-kalut, Batrisya syukur sangat pesakit itu memberi kerjasama penuh. Dia tidak perlu bertanya banyak pun, semua info pesakit itu beri. Mungkin kerana dah beberapa kali ditanya sebelum ini. Bila Batrisya tekan lembut bahagian perut atas kanan, pesakit itu menyeringai. Sakit barangkali. 

“Eh Trish, you are still here?” Seorang gadis manis dengan tray penuh dengan botol-botol darah menjenguk kepala ke dalam bilik. 

“I lambat tadi Har. Tapi I dah habis clerking dah, cuma next blood patient ni I minta tolong you ya?” 

“Alright, no problem. Nanti I settlekan.” Gadis itu menghilang. 

Batrisya letak tandatangannya di hujung pelan rawatan. Tekap cop. “Terima kasih banyak-banyak ya Encik Meor.”

“Sama-sama Dr…errr…”

“Batrisya.” Batrisya pusing hendak keluar. 

“Dr. Batrisya.”

“Ya?”

“Tudung doktor tu…macam terbalik.”

Kalau ditoreh wajah Batrisya ketika itu rasanya tidak keluar setitik darah pun. Dia pandang bawah. Tag jenama elok melambai di luar tudung, seolah mengajuknya. 

“You can use the bathroom.” Meor menuding ke arah tandas biliknya. 

Mencicit Batrisya lari masuk ke bilik air. Tudung dibetulkan luar dalamnya. Bila dia keluar semula, Meor sedang ralit membaca buku dengan segaris senyuman halus di bibirnya. Dia pandang Batrisya sekilas. 

Batrisya menundukkan kepalanya dan cepat-cepat dia keluar dari bilik pesakit itu.

Written by msteja

May 23, 2017 at 8:00 am

Posted in Uncategorized

5.2

leave a comment »

​Batrisya rasa dunia di kelilingnya berpusing-pusing. Dia gosok mata. Lega sedikit. Hiruk pikuk sorakan penyokong di tepi padang bola jaring menambah berat kepalanya. 



Dia dah kata dia tak mahu terlibat dengan pertaruhan sia-sia antara budak lelaki dan perempuan kelasnya. Kenyataan budak lelaki fail kalau main bola jaring membuatkan Fakhri yang sentiasa kecoh itu melemparkan cabaran. Netball match antara uda dan dara.



Batrisya berkeras tidak mahu. Dia malas. Dan dia tidak sihat. Tapi orang tak tahu.Namun selepas dipujuk rayu oleh kawan-kawan perempuannya, dia cair juga. Logiklah mereka hendak wakil bola jaring sekolah untuk beraksi di padang. 



Sebelum menyarung bip Goal Defender tadi, dia dah telan 2 biji panadol. Separuh masa pertama dia dapat bermain seperti biasa. Sedikit lesu. Tapi masih ok. 



Cabaran nak menentang budak lelaki ni. Walaupun bab peraturan permainan memang fail terang-terangan (gerak kaki je dah memang kantoi), tapi gerak geri mereka pantas dan mereka lebih tangkas. Mengah juga team perempuan nak mengejar bola. Dengan nak mengelak terlanggar sesama sendiri lagi.



Masuk separuh masa kedua Batrisya dah mula pening lalat. Beberapa kali bola terlepas daripada tangannya. 



“Come on Trish!” Suara nyaring Malika.



“Wooo lubuk lubuk!”



“Trish terlebih sabun ke cuci tangan tadi?” Aduh Fakhri ni. Kalau tak curah minyak ke api memang tidak sah.



Bingit.



Batrisya pandang ke seberang. Ada sedikit lucu melihat Syafie bermain di posisi Wing Attacker. Muka cemberut betul bila namanya terpilih. Wakil negeri untuk bola baling. Nak harap lepas memang tak lah.



Wisel berbunyi. Bazli dan Mariyah yang bermain sebagai Center masing-masing melompat mencapai bola. Jari Mariyah sudah menyentuh permukaan bola namun dirampas Bazli. 



Farah sempat menepis bola yang dibaling ke arah Syafie. Matanya mencari susuk tubuh Batrisya. Batrisya kosong!



Refleks Batrisya mula terasa tumpul. Dia nampak bola di tangan Farah. Dia tahu Farah akan melontar bola kepadanya. Tapi kepalanya terasa berat sangat.



“Trish!” Suara Farah sayup-sayup di telinga. Serentak dengan lontaran bola daripada tangannya. Batrisya hanya mampu memandang. Badan tidak mahu mendengar kata lagi. Walaupun tahu dia tahu kalau terkena lontaran petala kelapan Farah, dia mungkin tidak akan sedarkan diri selama beberapa hari.



Tapi Batrisya tidak sempat hendak merasa sakitnya tujahan bola itu kerana dunianya jadi gelap terlebih dahulu. Perkara terakhir yang dia ingat, sepasang tangan meragut bola yang sedang datang ke arahnya. Dan bau segar rumput hijau yang melembutkan jatuh kepalanya ke bumi. 



Buka-buka mata, siling putih. Pusing badan ke kiri, deretan katil single bercadar suci. Bilik rawatan Asrama Puteri. Seluruh badannya rasa sakit. 



“Trish!” Tapak tangan melekap pada dahi Batrisya. “Dah kurang sikit panasnya Cikgu Fifah.”



Batrisya pusing ke kanan. Melihat Malika dengan segala kerisauan dan kasih prihatin dalam matanya, terasa kurang sedikit beban tubuhnya. Di sisi Malika, Cikgu Afifah melutut, memegang tangannya. 



“Kamu rasa macam mana Trish? Tadi badan kamu panas sangat kami terpaksa tanggalkan baju sukan dan lap badan.”



Baru Batrisya perasan dia hanya bersinglet dengan seluar sukan. Lemahnya dia sekarang, nak rasa malu pun tak berdaya. 



“Ok sikit cikgu. Lama ke saya tak sedar?”



“Tak lama sangat, tapi cukuplah nak buat kita orang cuak Trish. Ni tengah tunggu van nak bawa kau ke hospital,” Malika menyampuk. 



“Tak sampai sepuluh minit lagi dekat sini. Kami baru sudah lap badan kamu je. Mujur kau orang main di padang dekat dengan asrama je,” Cikgu Afifah bangun. “Cikgu keluar sekejap, nak cek van dah sampai ke belum.”



“Apa jadi Ika? Last aku ingat Farah hantar bola dekat aku.” 



“Eiii aku geram betul dengan Pai tu lah. Gigih dia daripada sebelah Farah pecut nak rampas bola daripada kau. Jauh kot!”



“Dia yang tangkap bola tu?”



Malika mengangguk. Kedua-dua lengan di letakkan di atas tilam. “Dah nampak kau tak larat macam tu, biar je lah kau dapat bola tu kan. Hishh. Kau tak tengok Hariz pergi tolak dia daripada kau lepas kau terjatuh tu.”



“Macam mana Hariz terlibat pula?”



“Dia ada dari awal game lah Trish. Lepas je kau dah start nak jatuh tu, dia terus lari masuk padang. Kalau tak ada orang tahan tadi agaknya dia dah tolong angkat kau dah agaknya,” Malika senyum. “Dia betul-betul suka dekat kaulah Trish. Walaupun dia dengan Rina pun.”



“Merepeklah Ika.” Terngiang-ngiang perbualan dengan Syafie. “Dah tu bila Hariz tolak Pai, dia tak buat apa-apa ke?” 



“Tak pulak. Ramai juga bising kat Pai tadi sebab kejar bola tu. Dia diam je tak cakap apa. Peluk je bola tu…eh Trish, kenapa menangis pula ni? Trish, janganlah macam ni…”



Batrisya menyembamkan mukanya ke bantal. Dia tak pasti kenapa, tapi air matanya mencurah tak mahu berhenti. Puas dia fikir sebabnya, dia tak jumpa. Namun bila dia rujuk pada hati, Batrisya tak perlu pergi jauh. Hati tahu.

Written by msteja

May 16, 2017 at 7:50 am

Posted in Uncategorized

5.1

leave a comment »

Langkah Batrisya terhenti. Matanya tertancap pada sekujur tubuh yang membelakanginya. Khusyuk menghadap buku di meja. Hanya dia seorang. 

Batrisya kenal sangat dengan empunya belakang itu. Setahun lebih dia menghabiskan masa merenung belakang itu di dalam kelas. Dengan persoalan yang dia sendiri tidak dapat nak mencari jawapannya.

Perlahan-lahan Batrisya berjalan ke mejanya. Kerusi pun ditarik perlahan-lahan juga untuk tidak mengejutkan tuan empunya badan. Buku latihan Matematik dikeluarkan, beg disangkut pada belakang kerusi.

Matanya memandang belakang anak muda selang 3 baris secara menyerong daripadanya. Oh, patutlah anak muda itu seperti tak sedar akan sekeliling, earfon tersumbat di telinganya. Mesti tengah melayan Butterfingers lah tu. Kalaulah Syafie masih asyik dengan lagu tu sepertimana setahun lebih yang lalu.

Haih, Batrisya mengeluh kecil. Apalah takdir yang ditentukan untuk mereka. Batrisya suka ketika dia rapat berteman dengan Syafie. Suka sekali. Syafie itu perangainya macam anak-anak, nampak macam bodoh-bodoh alang, tapi sangat bijak. Dan dia sendiri seolah tidak kisah pun yang orang pandang dia bijak. Setiap kali berbual, tak pernah Batrisya tidak ketawa. 

Melalui Syafie, Batrisya kenal tentang kumpulan indie Butterfingers, yang diterajui oleh Emmet dan Loque. Walaupun Batrisya tidak gemar sekali genre muzik yang ‘ bising’, dia belajar untuk appreciate bait-bait lirik kumpulan tersebut dan membenarkan mesej daripada lirik itu menyentuh hatinya. 

Yang paling Batrisya terasa adalah rasa ‘hilang’ teman sparring belajar. Dahulu Syafie tempat dia merujuk kalau ada kekeliruan dalam subjek Matematik. Syafie pula cari dia bila kepalanya serabut dengan subjekBahasa Malaysia. Sekarang terkapai-kapai dia belajar sendiri. Mungkin ada baiknya juga. Mungkin juga tidak.

Seperti sekarang ni. Dah 30 minit Batrisya merenung soalan di hadapannya. Dah dua tiga cara penyelesaian dia cuba. Tak sama dengan jawapan di belakang. Dah langkau 3 soalan dah ni. Kalau dalam dewan periksa ni memang buang masa betul. 

Kerusi di meja depan ditarik seseorang. Wangian segar yang sudah lama tidak singgah hidungnya. Batrisya mengangkat muka. Rasa tak percaya. Syafie duduk bersandar di kerusi di hadapannya, matanya memegang ekspresi yang Batrisya kenal dahulu. Ekspresi seorang sahabat. Earfon tergantung di bahu.

“Soalan mana?” Tak ada basa basi, Syafie terus bertanya. Pasti sudah lama dia memerhatikan Batrisya, dengan kerut dahi dan hidung cuba mencari penyelesaian masalah kira-kira.

Batrisya tunjuk 3 soalan yang dia langkau tadi. Syafie tarik buku latihan itu, membaca soalan sepintas lalu. Dia tarik pula kertas yang Batrisya guna untuk buat pengiraannya. Perlahan-lahan satu persatu  Syafie terangkan jalan penyelesaian. 

Buat seketika, Batrisya rasa masa berputar kembali pada waktu setahun lebih yang lalu. Waktu Syafie masih mahu dan sudi memandang wajah dan berkongsi kisah. Waktu mulut Syafie masih rajin menegur sapa bertukar cerita. Waktu Syafie masih belum suka mengelakkan diri daripadanya.

“Pai.”

Syafie tidak menjawab. Hanya keningnya terangkat kedua-duanya. 

“Kenapa?”

“Kenapa apa? Kenapa solution dia macam yang aku tunjuk tu ke?” Berkerut kening Syafie. Rasanya dia dah terang dengan cara paling ringkas tadi.

“Apa aku dah buat?”

Ekspresi dalam mata Syafie berubah. Bahasa tubuhnya mula dalam keadaan defensif. Batrisya terasa dinding yang menghalang transparensi antara mereka berdua naik semula. 

“Pai, janganlah biar aku tertanya- tanya macam ni. Kau kawan aku kan? Kita kawan kan?” Panas wajah Batrisya, menahan perasaan. Dia rasa tenggelam dengan perasaan ingin tahu, sedih, marah, rasa tidak berpuas hati. Adunan perasaan yang membuatkan dia rasa sesak, yang dia simpan selama ini.

“Benda tak sama macam dulu, Trish. Aku lain. Kau lain.”

“Bagitahu aku apa yang lain.”

Syafie menggelengkan kepalanya. “Susah nak beri kau faham, Trish.”

“Beri aku faham Pai. Aku tak faham kenapa tiba-tiba sahaja kawan aku tinggalkan aku. Kenapa teman berborak aku tak mahu pandang aku lagi.”

Syafie diam. Lama. Batrisya tidak tahu sama ada diamnya itu sebab Syafie pun tak dapat nak beri jawapan ataupun dia sedang mereka cerita menyedapkan hati perempuannya. 

“Takkan sebab Hariz?” Batrisya memicingkan mata. Daripasa dulu dia syak sesuatu. Syafie nampak tersentak sedikit. 

“Ada sikit.”

“Pai, dia dah ada orang lain pun. Bukannya aku couple dengan dia. Kau rapat ke tidak dengan aku pun tak pengaruh aku untuk terima dia jadi boyfriend lah. Nanti aku kena bantai dengan 3 bodyguard kat rumah tu.”

Syafie senyum kecil. Teringat cerita Batrisya tentang ayah dan dua abang yang over protective itu barangkali. “Dia ada orang lain pun, tak bermaksud dia tak suka pada kau lagi Trish. Dalam seminggu mesti ada nama kau pada bibirnya. Tanya khabar. Komen kau comel.”

Wajah Batrisya sedikit merah. “Tapi dia dengan Rina.”

“Sebab mengejar kau tanpa dikejar balik itu nampak bodoh? Dengan Rina pun, mereka tahu bukan untuk selama-lamanya. Sekadar teman sementara.”

Batrisya ketap bibir. Dia memang tak pandai menguruskan situasi yang awkward antara dia dan Hariz. Hariz yang banyak mencuba untuk ambil hatinya. Kalau ada jualan, pasti ada hadiah untuknya. Kalau Hariz keluar bandar di hujung minggu pasti ada ole ole untuknya. Tapi makanan yang Hariz beri, pasti Batrisya akan sedekah pada orang, takut ada ubat guna-guna. Naif betul dia.

Yang dia tahu, lari. Mengelak. Lari lagi. Dan berdoa agar Hariz faham yang dia tidak berminat. Dan dia betul-betul bersyukur apabila mendengar pemuda itu mula rapat dengan Rina. Baru dia boleh pandang muka Hariz dan senyum. Ikhlas. 

“Aku kena minta maaf dari dia one day. Aku yang tak pandai handle. Bila ingat ingat balik rasa bodohnya.”

“Aku baik dengan dia, Trish,” sebaris ayat itu Syafie harap boleh memberi faham kepada Batrisya kenapa dia rasa menjarakkan diri daripada gadis itu adalah lebih baik. Tidak mahu menjadi perantara antara Hariz dan Batrisya. Tidak mahu rasa serba salah. 

“Dan kau rasa lebih mudah untuk tidak berkawan dengan aku?”

“Kita kawan.”

Batrisya menarik nafas panjang. Cuba jaga emosi agar tidak menggelegak. Anehnya pada masa yang sama dia faham. Tentang persahabatan, dia faham. Cuma dia degil. Tak mahu perkara yang dia suka berubah. Dan bersahabat dengan Syafie adalah satu benda yang dia suka. 

“Tak apalah Pai. Benda dah lama pun.” Senyum terpaksa. Tak guna nak paksa-paksa orang lelaki ni explanation lebih, nanti dia naik fed up, apa pun tak boleh. 

“Dah faham ke apa aku tunjuk tadi?” Syafie berbalik kepada soalan latihan Matematik. Seolah perbualan mereka tadi tidak pernah terjadi. Batrisya angguk. Syafie menolak kerusi hendak bangun. Terhenti kerana Batrisya merenungnya tak berkelip. Dia angkat kening lagi. 

“Mana kau tahu aku tengah serabut nak jawab soalan?”

Syafie sambung proses untuk bangun. Earfon dicucuh semula ke telinga. Dengan bayang-bayang senyuman mahal di bibirnya, dia kembali ke tempat duduk selang tiga baris menyerong daripada Batrisya, meninggalkan soalan Batrisya tergantung begitu sahaja.

Written by msteja

May 8, 2017 at 7:59 am

Posted in Uncategorized

4.4

leave a comment »

.

Meor terkebil-kebil memandang siling. Kipas berputar laju. Dia nak bangun tetapi sakit pada sendi-sendinya tidak membenarkan dia bergerak banyak. Mulut terasa kering walaupun dah berliter-liter air dia minum sehingga rasa asyik nak terkencing sahaja. Nak bangun kencing pun terasa seksanya.

Selepas terserempak dengan Liyana tempoh hari, balik rumah sewa terus dia demam. Ben tak habis-habis mengusik dia demam terkenan dengan girlfriend lama. Meor dah tak kuasa nak melayan. Macam biasa dia telan Panadol 2 biji dan tidur. 

Namun demamnya tidak kebah-kebah. Dan bila sendinya mula sakit lain macam dia dah mula curiga. Ben pun dah mula kelihatan risau. Beberapa kali Ben paksa dia ambil darah tetapi dia tidak mahu.  Konon konon bersangka baik viral fever biasa sahaja. Masuk hari ke tiga bila Meor memang benar-benar sudah tak tahan sakit dan gusinya berdarah bila dia terjaga tengah malam, barulah dia benarkan Ben mengheretnya ke Jabatan Kecemasan di hospital tempat Ben bekerja. 

Bacaan platelet Meor rupa-rupanya sudah jatuh kepada 68 sahaja. Ben mula membebel, dia hanya mampu tersengih. “Kalau patient kau buat perangai macam ni kau bising kan Meor, kau sendiri pun sama aje.”

“They do say doctors are the worst patients.”

“Aku call kak Mas dah. Dia kata tengah hari nanti dia datang bawa makanan sedap-sedap.”

“Thanks, Ben.”

Selepas beberapa jam di ED, barulah Meor ditolak ke wad. Disebabkan dia staf kesihatan dan kebetulan ada bilik yang kosong, maka Meor berpeluang untuk ditempatkan dalam bilik seorang diri. Itupun selepas dia beriya menghalau Ben pulang ke rumah. Bukannya Ben tak akan datang kerja semula pun beberapa jam lagi. 

Jururawat wad dengan mata kuyu (almaklumlah dah pukul 5 pagi), gagah memberikan orientasi wad, apa yang boleh dan perlu dielakkan sepanjang duduk di dalam wad. “Kalau ikutkan Dr Meor patut duduk kat acute bed tau.” Kuyu-kuyu mata pun, renungannya tajam sekali. “Dr Meor kalau rasa lain macam je terus inform tau. Jangan nak sorok.”

“Kalau saya tak sedar macam mana kak?”

“Eh Dr Meor ni, cubalah mulut tu jangan cabul sangat!” Terjegil mata jururawat bernama Suhaili itu. Tengah-tengah nak habis shift lagi 2 jam lagi ni boleh pula doktor ni cakap benda-benda yang nak dielakkan.

“Baik kak. Saya yang menurut perintah.”

“Doktor rehatlah dulu. Kejap lagi ada houseman datang clerk doktor.”

“Perlu ke? Dr Ben dah tengok saya tadi.”

“Tu Dr Ben. Houseman kena buat kerjanya juga Dr Meor,” petah pula Suhaili menjawab di pagi-pagi buta ni. Dia meletakkan fail Meor di atas overbed. Mata sepetnya merenung tajam wajah Meor. “Ingat, apa-apa panggil. Jangan memandai-mandai!”

.

Written by msteja

May 2, 2017 at 7:39 am

Posted in Uncategorized

4.3 Meor

leave a comment »

Tak tahu sejak berapa lama, friendship band sulaman berwarna merah hitam menjadi teman rapat Meor. Sentiasa berada di pergelangan tangan kanannya. Kecuali apabila dia melakukan sebarang prosedur ataupun ketika dia solat. Rasa macam ada benda yang tidak kena kalau dia tak bawa gelang itu bersama-sama. Gelang itu ada di atas side table di tepi katil hospital ketika Meor membuka mata selepas kemalangannya dulu. Dia pun tidak tahu dan tidak ingat dari mana datangnya gelang itu. Bila ditanya pada jururawat, mereka kata gelang itu ada di antara barang-barang yang mereka jumpa di tempat kejadian. Anehnya gelang itu masih dalam keadaan elok, mungkin kerana terletak elok antara lipatan baju-baju di dalam begnya.

.

Bila dia masuk kembali ke sekolah, sehinggalah dia sudah beberapa tahun bekerja, ramai yang bertanya kenapa masih memakai gelang itu lagi. Iyalah dah banyak tahun, mestilah dah lusuh. Tapi Meor degil juga. Dia rasa gelang itu ada hubungkait dengan masa lalunya. Manalah tahu, untaian benang yang membentuk gelang itu akan menguraikan kekusutan memori kisah silamnya.

.

“Ni mesti awek yang bagi ni.”

.

Ben punya spekulasi kalau tak melibatkan perempuan memang tak sah. “Pandailah kau!”

.

“Dah tu…” Ben mengangkat kening. “Kau lagi rela lelaki yang bagi friendship band tu?”

.

Err…okay, ada point juga apa yang Ben cakap tu. 

.
“You simpan lagi friendship band tu?” Terputus lamunan Meor. Cepat-cepat dia mengumpul semula memori jangka pendek, di mana dia, apa yang dia sedang lakukan, dia sedang bersama siapa.

.
“Ha ah. Tak ada sebab nak buang pun,” Meor menjawab ringkas. Wajah bersih gadis di hadapannya ditatap. Lama mereka tidak berjumpa. Lebih 5 tahun selepas habis SPM. “Yana dekat mana sekarang?”

.
“I mengajar. High school. I ambil TESL di UM dulu. Kenapa you lama tak contact? Lepas masuk matriks you senyap je terus kan?” Bertubi-tubi soalan keluar daripada mulut Liyana. Meor senyum. Masih tak berubah. Sekali Liyana buka mulut, memang macam bertih jagung yang sedang dibakar tu, tak berhenti-henti meloncat.

.
“Ada di sana dan di sini.”

.
“Tak menjawab soalan la Meor! Puas tau I tanya kawan-kawan yang lain, seorang pun tak tahu you pergi mana. Macam…,” Liyana menarik nafas. “…macam you hilang je dari muka bumi ni. Social media pun you tak ada kan?”

.
“Alah Yana, bukan ada orang nak rindukan saya pun. Saya kan lone wolf masa di sekolah dulu.”

.
Wajah Liyana terus berubah, membuatkan Meor rasa hendak tarik balik kata-katanya. Bila Liyana bersuara kembali, suaranya turun senada. “Dah tu you ingat kenapa I cari you all those time? Tebal muka I tanya semua kawan-kawan.

.
“Yana, saya dah beritahu banyak kali dah…” Meor mula kurang selesa. Daripada dulu lagi dia tahu Liyana ada menyimpan perasaan yang bukan sedikit. Meor memang sangat menghargai persahabatan Liyana, gadis itu banyak membantu ketika dia mula-mula masuk ke Tingkatan 4 di sekolah baru. Untuk dia catch up semula subjek-subjek yang dia ingat ingat lupa. Tapi dia tak dapat berikan apa yang Liyana mahukan. Bukannya dia tak cuba, sudahnya hati Liyana juga yang remuk.

.
Senyum di bibir Liyana seolah dipaksa. “Ya lah…I tau. So, fill me in. Apa yang jadi pada you sepanjang tahun-tahun yang kita tak jumpa.”

Written by msteja

April 24, 2017 at 10:05 am

Posted in Uncategorized

4.2

leave a comment »

Meor terjaga lagi dari tidur dalam keadaan tubuhnya dibasahi peluh. Jantungnya macam tak pandai dah nak bekerja perlahan-lahan. Macam bunyi derapan tapak kaki kuda yang sedang gallop. 

.

“Allah.”

.

Jam 2 pagi. Waktu biasa dia terjaga. 

.

Dia pergi ke ruang tamu. Ben sedang mengemas-ngemaskan notanya, sedia untuk masuk tidur. Dia pandang muka Meor yang sugul.

.

“Nightmare, Meor?”

.

“Macam biasa. Mimpi biasa. Nothing changes.”

.

“Tak nak pergi jumpa psy? Mungkin mereka boleh bantu.”

.

“I have had enough of them. Masalahnya bukan dengan dia orang. Dia orang dah cuba macam-macam. Masalah nya dengan aku. Aku yang tak nak let go kot. Hence the dreams.”

.

Ben meregangkan otot-ototnya yang terasa lesu setelah beberapa jam mentelaah. “Kalau aku beritahu kau yang benda yang jadi tu bukan salah kau, tak akan merubah apa-apa pun kan?”

.

“Kita dah borak pasal ni banyak kali kan Ben. Still, I have the dreams. Dia macam, kau tahu bukan kau yang salah, tapi subconsiously you still blame yourself.”

.

“Jomlah try hypnotism. Aku teringin nak tengok.”

.

“Kau teringin nak tengok apa ada dalam kepala aku kan sebenarnya.”

.

“Ah…you wound me,” Ben pura-pura terluka dengan kata-kata Meor. Dia duduk di sofa di sebelah Meor. “Kau masih ingat?”

.

Soalan Ben itu sangat umum, tapi Meor faham apa yang dia dimaksudkan. “Sama je bro. Apa yang aku mimpikan, itulah yang aku ingat. Yang sebelum-sebelum tu is a blur. Memori time sekolah pun samar-samar. ”

.

“Its a wonder.”

.

“Apa dia?” Meor mengiringkan kepalanya sedikit, memandang Ben dari ekor matanya.

.

“Yelah, dengan memori kabur-kabur, ingat tak ingat benda apa belajar time menengah rendah, kau managed untuk masuk medical school dan lepas jadi doktor kan?”

.

“Ben.”

.

“Yep.”

.

“Yang impaired adalah memori aku. Bukan intelligence aku.”

.

Written by msteja

April 17, 2017 at 9:00 am

Posted in Uncategorized

4.1 MEOR

leave a comment »

Hari-hari Ayam.

.

Itu gelaran Ben untuk hari Selasa dan Khamis mereka. Sebab pada hari-hari tersebut, kakak Meor akan menghantar beberapa ekor ayam, siap dipotong dan dibersihkan ke rumah mereka. Dan kalau mereka bernasib baik, Mastura akan tolong memasak untuk mereka pada hari-hari tersebut.

.

Mastura menjual ayam di pasar besar pada waktu pagi.  Waktu petang dan malam dia gunakan untuk membuat vaporub yang dijual secara online. 

.

Hari itu adalah salah satu hari mereka bernasib baik. 

.

Mereka bertiga di dapur. Mastura mengisar barang tumis. Meor membersihkan ayam. Ben menjadi pemerhati daripada kaunter bar. Dia memang tidak boleh masuk dengan kerja-kerja dapur ni. Suruh lah dia buat prosedur hospital apa pun, dia boleh lakukan dengan tertib dan teratur, daripada menyediakan peralatan hingga membersihkan, tapi nak minta dia duduk di dapur, memotong-motong bahan satu persatu, dia angkat tangan menyerah awal-awal. Bagusnya dia dapat housemate macam Meor, yang punya skill menguruskan rumah. Emaknya asyik membebel;

.
“Kau ni potong orang pandai, potong ayam fail!”

.
Tapi mak, Ben ni kerja bahagian perubatan, tak potong orang macam doktor bahagian pembedahan atau bahagian tulang! Tapi pada orang-orang tua, asal doktor je, kerjanya potong potong.

.
Tapi bila dia jawab begitu, emaknya akan membalas;

.
“Pandai lah kau Ben. Meor tu boleh je pulak buat kerja rumah. Kalau mak ada anak perempuan sebaya kau orang memang mak sendiri pergi pinang dia.”

.
“Meor, kalaulah aku ada adik perempuan, sudi tak kau jadi adik ipar aku?”terpacul soalan yang tidak semena-mena daripada mulut Ben.

.
Terhenti basuhan ayam Meor. Dia pandang Ben macam Ben itu alien saja. “Bro, you have a younger sister.”

.
Mastura ketawa. “Berapa kali kau nak tanya Meor soalan yang sama Ben? Setiap kali kak Mas datang, setiap kali kak Mas dengar soalan tu. Masa kak Mas tak ada, tak tahulah berapa kali kan.”

.
“Percayalah, kak Mas. Annoying gila,” Meor meletakkan ayam di dalam bakul plastik untuk menapis air. “Tapi tak pernah pun nak kenalkan Meor dengan adik perempuan dia tu.”

.
“Meor, adik aku baru form 5.”

.
“She won’t be in few years time,” Meor tersengih.

.
“Gatal,” Mastura menepuk belakang kepala Meor. 

.
“Kak Mas, Ben yang mulakan!”

.
“Sama je kau orang berdua,” Mastura menjegilkan mata. “Kak Mas macam dengar radio rosak je berulang-ulang setiap kali datang. Ke memang sengaja nak annoy aku?”

.
“Mungkin kak Mas secara tak sedar masuk time loop ke?” Meor buat muka tidak bersalah. “Mana mungkin dialog kami sama je tiap-tiap kali.”

.
Hei…geram betul lah Mastura dengan budak-budak berdua ni. Dah besar panjang pun nak main-mainkan si kakak ni lagi. Mastura tak boleh nak bayangkan macam mana mereka berdua serius di hadapan pesakit. Mungkin Mastura pula lah yang akan menggelakkan mereka. 

.
“Kalau nak bertekak je, dah pergi ruang tamu, biar kak Mas seorang kat sini. Dah siap nanti kak Mas panggil.”

.
Meor mengenyit mata pada Ben yang tersengih lebar. Kedua-dua mereka baru sahaja hendak menapak ke ruang tamu bila suara Mastura bergema kembali, “Kau orang jangan ingat kak Mas tak tahu ni trick korang nak mengelat tolong di dapur!”

.
Aduh, kantoi!

Written by msteja

April 10, 2017 at 8:02 am

Posted in Uncategorized